Mahar Terindah
December 18, 2014
Penulis: Puan Roza (Universiti MKI)
Saat indah.
Hati berbaur setiap kali menerima kad jemputan ke majlis perkahwinan. Riang dan sebak bersekali. Melihat dua mempelai berjalan beriringan sambil jari bertaut kemas melepasi pintu utama boleh mengalirkan air mata.
Ada kenangan masih tertusuk di dada.
Hari itu tidak berbeza. Mata melihat berpuluh-puluh meja di dalam dewan besar yang kelihatan terlalu indah Setiap meja dihiasi dom-dom berisi makanan lazat. Peralatan hidangan – pinggan, cawan, gelas, sudu serta garpu – tersusun rapi. Terselit cantik cenderamata berbekas ala kristal berbalut reben berhias mawar putih.
Hati tidak dapat menolak untuk bertanya, “berapa agaknya sewaan hotel ini?”.
Mata galak merakam hamparan permaidani merah terbentang seawal pintu utama. Sepanjang jalan masuk dihiasi jambangan mawar putih segar bugar. Pentas utama disidai gabungan kain sutera, satin dan sifon.
Akal yang bermalasan tidak dapat mencongak bilangan mawar putih terhias indah di kiri kanan kerusi raja sehari. Harumannya menawan. Lagi, pada penjuru pentas, terdapat kek sugar paste bertingkat-tingkat.
Pentas raja hanya sehari ini bakal disinggahi oleh pengantin terbilang.
Tumpuan terganggu apabila MC mengumumkan pengantin akan memotong kek besar sebelum ke meja makan utama. Lensa kamera berkelip-kelip merakamkan saat indah buat mereka. Kemudian, pengantin perempuan dengan senyum melerek menawan meninggalkan sudut pentas bersama pasangannya.
MasyaAllah Tabarakallah!
Alunan muzik dimainkan mengikut tempo perjalanan pengantin. Sungguh suasananya indah sekali. Mata merenung persalinan pengantin, gabungan kain sutera dan Lace. Potongan baju ketat sendat. Ia – agaknya – sesuai dengan tubuh langsing sipemakai. Potongan kainnya berjela-jela panjang. Ada dua anak gadis comel perlu membantu semasa bergerak.
Sungguh … ia benar dan nyata!
Meja utamanya lagi hebat. Pengisinya orang kenamaan, orang bergelar serta orang berharta. Mereka siap sedia menunggu untuk majlis bersantap adab beradab. Juadahnya tentu sekali berbeza. Wajah mereka hampir terlindung dek tapak lilin serta gubahan bunga-bungaan.
Allah … Allah … ya Allah … daku pernah mengimpikan suasana ini aduhai suamiku.
Daku mimpikan majlis perkahwinan di dalam taman dipenuhi dengan bunga-bungaan, reben-reben besar dari kain sutera diikat pada para-para tinggi serta burung berkicau-kicauan. Lalu pari-pari kecil membantu membetulkan kaki kain meleret yang panjangnya berjela-jela.
Ia kisah puteri-puteri dongeng. Namun itulah impian pengantin remaja yang telah berkubur berpuluh tahun lamanya.
Lamunan terhenti. Agaknya berapa ramai yang mampu berhabisan beratus ribu kerana meraikan majlis perkahwinan anak sendiri? Tidak. Tiada siapa yang mampu jika mereka bukannya keturunan keluarga Diraja, jutawan atau orang berjawatan tinggi. Istilah ukur baju di badan sendiri masih terpakai. Majlis seumpama ini tidak bertempat bagi orang biasa-biasa.
Diam-diam – hari itu – bakal pengantin perempuan tertawa geli hati mengenangkan angan-angan puteri dongeng yang melintas di fikiran. Tiba-tiba, sayup terdengar dari ruang tamu.
Berapa hantarannya pak cik?
Mas kahwin di Johor RM22.50. Hantaran terpulanglah kepada Kamil. Jangan menyusahkan.
Saya sudah ada menyimpan sedikit wang. Tidak banyak. Simpanan biasiswa. Jika RM4500, pak cik boleh terima?
Terdengar anak muda yang datangnya bersendirian bertanya dan memberitahu bakal bapa mertuanya. Tubuh badannya sedikit bergetar tetapi teratur sekali berbahasa. Beliau merisik khabar sendirian sebelum membenarkan keluarga datang meminang.
Alhamdulillah. Itu sudah lebih dari memadai. Rasanya tidak perlu bertunang-tunang. Mintalah keluarga datang tiga bulan dari sekarang.
Bapa mertua juga berhemah. Barangkali dalam diam beliau berterima kasih kerana pengakuan luhur lagi jujur dari bakal menantunya. Barangkali yang berminat ramai tetapi inilah anak muda yang sanggup bertanggungjawab dan mahu menikahi anak perempuannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
(Terjemahan surah an-Nisaa’: 4)
Begitulah indahnya Islam. Sungguh, ia tidak memberatkan umat nabi Muhammad SAW. Tidak mengapa walau naskhah al-Quran yang hanya termampu olehnya. Tidak mengapa walau mas kahwin hanya RM22.50 sahaja.
Ia mahar terindah!
December 18, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
28 Oktober 2023
Hari ni hari lahir Abang yang ke 51.. semoga roh mu di RahmatiNya. Bercekau & ketawa dah jadi kenangan. Dia lah idola. Abg borek adik r...
-
Sejak mula meleburkan diri dalam dunia tanaman, banyak yang perlu saya belajar. Banyak cara atau kaedah menyuburkan tanaman dengan kos yang...
-
Semalam cuaca agak panas dan saya berkelah di belakang rumah. Puasa mana leh mandi-manda di kolam. Bukan saya, tapi itik-itik dan angsa-angs...
-
Perkembangan terkini tentang rumah kabin kami ialah kami telah pun menempah dua buah kabin 20' x 10' semalam. Kami perlu menempah te...
No comments:
Post a Comment